UMNO Putrajaya Santuni Warga Ditimpa Ujian Kesihatan, Sumbang Katil Hospital
PUTRAJAYA, 3 Jun – Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus menjadi keutamaan apabila Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr. Tengku Iqbal Munawwir mewakili Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menziarahi beberapa warga Putrajaya yang sedang diuji dengan masalah kesihatan serta terlibat dalam kemalangan.
Dalam program ziarah kebajikan tersebut, rombongan turut menyampaikan sumbangan berupa katil hospital bagi membantu memudahkan urusan penjagaan pesakit di rumah, selain menyantuni ahli keluarga yang sedang menghadapi cabaran menjaga insan tersayang.
Menurut Dr. Tengku Iqbal Munawwir, usaha turun padang dan mendekati rakyat yang memerlukan akan terus menjadi agenda utama Pemuda UMNO Putrajaya dalam memastikan tiada warga yang berdepan kesukaran dibiarkan bersendirian.
“Pemuda UMNO Putrajaya sentiasa percaya bahawa khidmat kepada rakyat bukan sekadar slogan, tetapi amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Kehadiran kami hari ini bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan, tetapi sebagai tanda bahawa mereka tidak bersendirian menghadapi ujian ini. Insya-Allah, kami akan terus bersama masyarakat dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan kepedulian sosial perlu terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan sokongan.
Ujarnya, program ziarah seumpama ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UMNO Putrajaya dalam mendekati rakyat serta memahami sendiri keperluan yang dihadapi mereka.
“Keutamaan kita adalah memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, selain memberikan sokongan moral kepada pesakit dan keluarga.”
Tegasnya lagi, program tersebut mencerminkan iltizam kepimpinan UMNO Putrajaya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira waktu, selaras dengan semangat perjuangan parti yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat. – UMNO Online

