UMNO Putrajaya Teruskan Program Ziarah Kasih, Santuni Warga Uzur dan Sakit
PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya meneruskan komitmennya dalam mendekati masyarakat menerusi program Ziarah Kasih dengan menyantuni penduduk yang sedang berdepan masalah kesihatan di sekitar kawasan itu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, beliau telah menyampaikan sumbangan bagi pihak Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada dua penerima yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada Hamdan yang menetap di Blok 4A, Presint 9 serta Ahmad Fauzan Ghazi, anak kepada Faiz KC Bunga Lawang yang tinggal di Presint 15.
Menurut beliau, program kebajikan seperti Ziarah Kasih akan terus dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan UMNO Putrajaya terhadap kebajikan dan kesejahteraan penduduk setempat, khususnya mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
“Semoga kedua-dua mereka diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menjalani rawatan,” katanya.
Program Ziarah Kasih merupakan antara inisiatif berterusan UMNO Bahagian Putrajaya dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta memastikan golongan yang memerlukan sentiasa mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya. – UMNOPutrajaya



