Berita

Undi BN, Teruskan Maju Johor Untuk Masa Depan – Tengku Adnan

JOHOR BAHRU, 10 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor yakin rakyat Johor akan terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.

Beliau berkata, PRN Johor bukan sekadar memilih wakil rakyat, sebaliknya menentukan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, rakyat perlu menilai rekod pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta kepimpinan kerajaan negeri sepanjang tempoh empat tahun lalu yang berjaya membawa kestabilan pentadbiran, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Rakyat nilailah sendiri bukan hanya berdasarkan janji sepanjang tempoh berkempen, tetapi lihat juga rekod pentadbiran yang telah dilaksanakan. Johor hari ini menikmati kestabilan politik yang membolehkan pelbagai agenda pembangunan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman Pilihan Raya Umum 2018 perlu dijadikan pengajaran apabila pelbagai janji yang diberikan akhirnya membawa kepada ketidakstabilan politik, pertukaran kerajaan serta menjejaskan keyakinan pelabur.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Johor keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan memberikan sokongan kepada BN bagi mengekalkan kerajaan yang stabil, berpengalaman serta mampu meneruskan kemajuan negeri.

“Kekalkan kestabilan, pilih kemajuan dan berikan mandat kepada BN demi memastikan Johor terus berkembang serta kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan,” katanya lagi.

BN yang bertanding secara solo pada PRN ini, menampilkan gabungan muka lama dan baharu membabitkan 37 calon UMNO, 15 MCA dan empat MIC.

Pada PRN Johor ke-15 pada 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN manakala PH 12 kerusi, PN (tiga kerusi) dan MUDA satu kerusi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.