UMNO Putrajaya Turun Padang Sokong Calon BN di Penamaan Calon Kempas
JOHOR BAHRU – Kepimpinan dan jentera UMNO Bahagian Putrajaya hadir memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) sempena proses penamaan calon bagi kerusi N47 Kempas, hari ini.
Rombongan yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah disertai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir.
Turut hadir barisan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya serta penyokong BN/UMNO yang bersama-sama memeriahkan suasana penamaan calon.
Kehadiran rombongan itu mencerminkan semangat kebersamaan dan komitmen jentera UMNO Putrajaya dalam membantu memperkukuh kempen Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya negeri di Johor.
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang melibatkan 56 kerusi pada 1 Jun lalu membuka tirai kepada proses demokrasi yang akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Jun menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun 2026, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai dan pengundian pada 11 Julai. – UMNOPutrajaya

