Berita

Tengku Adnan Iringi Calon BN, Seru Teruskan Gelombang Biru di Negeri Sembilan

TAMPIN, 18 Julai – Bendahari UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr. Tengku Adnan Tengku Mansor, hadir bersama jentera UMNO Wilayah Persekutuan mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar, dan calon BN bagi DUN Repah, Koh Kim Swee, ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Perdana Tampin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Kehadiran beliau bersama barisan kepimpinan dan jentera parti mencerminkan komitmen padu UMNO serta Barisan Nasional dalam memastikan calon-calon yang diketengahkan mendapat sokongan penuh sepanjang kempen pilihan raya.

Menurut Tengku Adnan, semangat dan kesatuan yang ditunjukkan oleh seluruh jentera pada hari penamaan calon membuktikan bahawa BN berada dalam keadaan bersedia untuk menggalas amanah rakyat dengan penuh iltizam, disiplin dan tanggungjawab.

Beliau berkata, kekuatan jentera yang bergerak seiring dengan kepimpinan parti menjadi antara faktor penting dalam menghadapi saingan PRN Negeri Sembilan, sekali gus memastikan mesej perjuangan BN dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.

“Insya-Allah, dengan kerja keras, perpaduan seluruh jentera dan sokongan padu rakyat, Barisan Nasional mampu meneruskan agenda kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan demi masa depan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh ahli dan penyokong parti agar terus memperkukuhkan gerak kerja di setiap kawasan, mempererat saf perjuangan serta memastikan momentum kemenangan diteruskan.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan Gelombang Biru demi memastikan Barisan Nasional kembali diberikan mandat untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa Negeri Sembilan ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” ujar beliau. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.