Berita

‘Tak Banyak Alasan’ Bukti UMNO Putrajaya Terus Bersama Rakyat

PUTRAJAYA, 20 Julai – Program Sumbangan “Tak Banyak Alasan” Fasa 3 yang dicetuskan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr. Tengku Adnan Tengku Mansor, diteruskan lagi sebagai bukti komitmen berterusan UMNO dalam membantu rakyat tanpa mengira masa dan keadaan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr. Tengku Iqbal Munawwir, berkata program itu membuktikan bahawa membantu masyarakat tidak memerlukan banyak alasan, sebaliknya kesungguhan dan tindakan yang berterusan amat penting.

Menurut beliau, pelaksanaan sumbangan secara berperingkat memperlihatkan kesungguhan UMNO untuk terus berada bersama rakyat, khususnya golongan yang memerlukan sekalipun bukan wakil rakyat setempat.

“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan, tetapi lambang keprihatinan dan tanggungjawab sosial UMNO terhadap masyarakat. Kita mahu rakyat merasai bahawa UMNO sentiasa hadir bersama mereka, bukan hanya ketika musim pilihan raya tetapi sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meneruskan penyampaian Sumbangan ‘Tak Banyak Alasan’ Fasa 3 kepada penduduk di Presint 9 dan Presint 14, Putrajaya, semalam.

Dalam pada itu, Dr. Tengku Iqbal turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya serta semua sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menjayakan Program Sumbangan “Tak Banyak Alasan” tersebut.

Menurut beliau, kejayaan program ini adalah hasil semangat kerja berpasukan, keikhlasan dan komitmen semua pihak yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

“Program ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa sokongan padu seluruh AJK (ahli jawatankuasa) Pemuda dan para sukarelawan. Terima kasih atas segala pengorbanan dan dedikasi yang dicurahkan.

“Semoga semangat ‘Teguh Bersama, Tak Banyak Alasan’ terus menjadi pemangkin untuk kita memperkukuhkan khidmat bakti kepada masyarakat serta meneruskan usaha membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.