Isu Semasa

Kalau Betul Mahu Kempen Matang, PH Perlu Cermin Diri Sendiri

Saya mengambil maklum gesaan Datuk Seri Fahmi Fadzil supaya semua parti berkempen secara matang, berasaskan fakta dan tidak memainkan fitnah.

Saya bersetuju.

Tetapi kempen matang tidak boleh hanya ditujukan kepada parti lawan. Ia mesti bermula dengan keberanian untuk menegur penyokong dan pemimpin sendiri apabila PH menyebarkan fitnah, memainkan persepsi serta mengamalkan politik dua darjat.

Kalau benar mahu bercakap soal kematangan politik, hentikan budaya melabel pihak yang berbeza pandangan sebagai ekstrem, hentikan penyebaran maklumat yang mengelirukan rakyat dan hentikan amalan memilih untuk berdiam diri apabila fitnah dilakukan oleh pihak sendiri.

Rakyat Negeri Sembilan hari ini tidak memerlukan ceramah yang penuh dengan retorik. Mereka mahu jawapan kepada persoalan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, kemudahan awam dan masa depan anak-anak mereka.

Pilihan raya bukan pertandingan siapa paling banyak mengeluarkan slogan. Pilihan raya ialah medan untuk membuktikan siapa yang benar-benar mempunyai rekod, kredibiliti dan penyelesaian kepada masalah rakyat.

Barisan Nasional akan terus menawarkan politik yang bertanggungjawab, berfakta dan menghormati kebijaksanaan rakyat. Kami yakin pengundi Negeri Sembilan mampu membezakan antara parti yang hanya pandai bercakap dengan parti yang benar-benar mampu bekerja.

Jika semua pihak benar-benar ikhlas mahukan kempen yang matang, maka marilah kita bermula dengan satu prinsip yang mudah

Bercakap benar,
Berhujah dengan fakta dan
Menghormati kebijaksanaan rakyat.

Dato’ Dr Mohd Zaidi Md Zain
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.