Aktiviti & Komuniti

Wanita Wilayah Persekutuan Bermunajat Doakan Kemenangan BN Di PRN Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok, saf kepimpinan Wanita UMNO terus memperkukuh ikhtiar rohani dengan menghadiri Majlis Bacaan Yasin Perdana dan Doa Munajat yang berlangsung di Kuala Pilah.

Program yang dianjurkan oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad itu menghimpunkan kepimpinan Wanita UMNO dari seluruh negara, termasuk Pengurusan Wanita Wilayah Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Anggraini Sentiyaki.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Muslimat Pas Malaysia, Hajjah Nuridah Mohd Salleh bersama barisan kepimpinan Muslimat Pas sebagai tanda kebersamaan dalam memohon doa agar proses demokrasi berjalan lancar serta dikurniakan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian esok.

Kehadiran pimpinan daripada pelbagai peringkat mencerminkan kesatuan tekad dan semangat perjuangan dalam memastikan BN terus diberi mandat untuk meneruskan agenda pembangunan, kestabilan politik serta membela kebajikan rakyat Negeri Sembilan.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa munajat memohon agar segala usaha yang dilaksanakan sepanjang tempoh kempen dipermudahkan dan membuahkan kejayaan buat calon-calon BN dalam PRN Negeri Sembilan. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.