Berita

PRN Negeri Sembilan: Tengku Adnan Seru Pengundi Keluar Awal, Beri Mandat Kepada BN

KUALA PILAH, 31 Julai – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr. Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan agar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan keluar mengundi seawal mungkin pada hari pengundian esok bagi menentukan masa depan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, setiap undi yang diberikan amat penting dalam memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan di bawah pentadbiran yang berpengalaman dan berwibawa.

“Esok adalah hari penentuan buat rakyat Negeri Sembilan. Saya menyeru semua pengundi agar keluar mengundi seawal mungkin dan memberikan mandat kepada Barisan Nasional demi memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan. Setiap undi amat bermakna dalam menentukan hala tuju negeri untuk lima tahun akan datang,” katanya.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan turut menyeru seluruh jentera Barisan Nasional supaya terus memperkukuhkan gerak kerja pada saat-saat akhir kempen dengan menyantuni pengundi secara berhemah, tertib dan penuh semangat kekeluargaan sehingga tamat proses pengundian.

Beliau berkata, setiap jentera perlu memastikan penyokong Barisan Nasional keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memastikan kemenangan calon-calon parti.

“Kepada seluruh jentera Barisan Nasional, inilah saat terakhir untuk menggandakan usaha. Teruskan menyantuni pengundi dengan penuh tertib, berhemah dan semangat kekeluargaan sehingga tamat proses pengundian. Pastikan setiap penyokong keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan keyakinan bahawa rakyat Negeri Sembilan bijak membuat pilihan dengan memilih kepimpinan yang mempunyai rekod pencapaian, pengalaman serta kemampuan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Saya yakin rakyat Negeri Sembilan mampu membuat pilihan yang terbaik. Pilihlah pimpinan yang mempunyai rekod, pengalaman dan kemampuan untuk terus membawa kemajuan. Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, Barisan Nasional akan terus diberi kepercayaan untuk berkhidmat demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih cemerlang,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.