Salam Maulidur Rasul 1448H: Hayati Sirah, Teladani Sunnah Rasulullah SAW
PUTRAJAYA: Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah, Bendahari UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru seluruh warga Putrajaya dan rakyat Malaysia agar menjadikan sirah serta sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam membentuk kehidupan yang lebih baik, berakhlak dan penuh kasih sayang.
Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebaliknya menjadi ruang untuk umat Islam menghayati kembali perjuangan, pengorbanan dan keperibadian Baginda dalam membawa risalah Islam serta membina masyarakat yang berteraskan nilai keadilan, amanah dan persaudaraan.
“Marilah kita menghayati sirah Rasulullah SAW dengan lebih mendalam dan menjadikan sunnah Baginda sebagai pedoman dalam kehidupan seharian. Akhlak Rasulullah SAW yang penuh kasih sayang, sabar, amanah dan prihatin terhadap masyarakat wajar kita teladani bersama.”
Menurut beliau, dalam mendepani cabaran semasa, umat Islam khususnya generasi muda perlu memahami bahawa kekuatan sesuatu masyarakat bukan hanya bergantung kepada kemajuan material, tetapi turut dibina melalui kekuatan akhlak, ilmu, perpaduan dan nilai kemanusiaan.
Beliau turut mengajak seluruh warga Putrajaya supaya memperkukuh semangat ukhuwah, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain, selaras dengan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam membina masyarakat Madinah yang bersatu dan saling bertanggungjawab.
“Semoga Maulidur Rasul pada tahun ini menyemarakkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dan mendorong kita untuk mengamalkan sunnah Baginda dalam keluarga, masyarakat serta dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
Beliau dalam pada itu mengucapkan Salam Maulidur Rasul 1448H kepada seluruh umat Islam, khususnya warga Putrajaya, dengan harapan sambutan penuh bermakna ini dapat memperkukuh kecintaan kepada Rasulullah SAW serta menyuburkan nilai perpaduan, kasih sayang dan keharmonian dalam masyarakat. – UMNOPutrajaya


