Aktiviti & Komuniti

Semarak Maulidur Rasul, 500 Peserta Sertai Perarakan di Presint 9

PUTRAJAYA: Sambutan Maulidur Rasul di Presint 9 di sini berlangsung meriah apabila kira-kira 500 peserta menyertai perarakan anjuran kariah Fasa 12, baru-baru ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hiisamudin Yahaya, berkata penyertaan dalam program berkenaan menjadi tanda kecintaan dan penghormatan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, perarakan yang dianjurkan Surau Al-Husna dan Surau An Najah itu bertemakan ‘Cinta Rasul – Teladani Akhlaknya – Sebarkan Sunnahnya’.

“Program ini turut disertai Surau Al Reduan dan Surau Al Islah dengan perarakan sejauh kira-kira 2.3 kilometer.

“Sambil berselawat dan memperingati kelahiran pemimpin agung, perarakan seperti ini dapat menghidupkan sunnah, menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli kariah,” katanya.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan bukan sekadar meraikan Maulidur Rasul, malah menjadi wadah untuk masyarakat menghayati akhlak mulia Rasulullah SAW dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Beliau turut berharap program keagamaan seperti itu dapat diteruskan sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan serta kecintaan masyarakat terhadap Rasulullah SAW. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.