UMNO Putrajaya Sertai Konvensyen Pendidikan Melayu 2026
KUALA LUMPUR: Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya bersama Pengerusi-Pengerusi Biro Pendidikan Bahagian menghadiri Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Bertemakan “Agenda Pendidikan Melayu”, konvensyen anjuran Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO Malaysia itu menjadi platform membincangkan cabaran semasa serta hala tuju pendidikan anak bangsa.
Ucapan perasmian penutup dan penyerahan resolusi hala tuju konvensyen disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, manakala ucapan hala tuju disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zamry Abd. Kadir.
Konvensyen turut menampilkan tokoh akademik dalam tiga sesi utama iaitu “Cabaran Mutakhir Pendidikan Anak Bangsa: Kumpulan B40 dan M40”, “Menerus Agenda Anak Bangsa” serta “AUKU dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara”.
“Pendidikan adalah asas penting dalam menentukan masa depan anak bangsa. Perbincangan dan resolusi seperti ini perlu diteruskan bagi memastikan agenda pendidikan Melayu terus diperkasa,” kata Mohd Hisamudin.
Penyertaan UMNO Bahagian Putrajaya mencerminkan komitmen kepimpinan bahagian untuk terus mengikuti perkembangan serta menyumbang kepada perbincangan berkaitan pendidikan dan pembangunan anak bangsa. – UMNOPutrajaya

