PAU 2026 Selesai, Amanah Dan Tanggungjawab Terus Berjalan – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 14 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru seluruh warga parti untuk terus memperkukuh perpaduan dan melaksanakan amanah demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
Beliau berkata, hala tuju yang telah digariskan perlu diterjemahkan kepada gerak kerja yang berterusan selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2026.
“Bersama menjayakan Agenda Malaysia Biru.
“Hala tuju telah nyata. Kini tiba masanya untuk kita melangkah dengan tekad, memperkukuh perpaduan dan terus bekerja demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran Perhimpunan Agung UMNO 2026 tidak hanya bergantung kepada kepimpinan parti, malah turut didukung oleh seluruh perwakilan, ahli dan semua pihak yang bersama-sama menjayakannya.
Sehubungan itu, Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan, perwakilan, ahli serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan perhimpunan tersebut.
“Perhimpunan telah selesai. Amanah dan tanggungjawab kita terus berjalan. Sekarang masa untuk bekerja,” tegasnya.
Beliau turut mengajak seluruh anggota UMNO untuk bersama-sama menjayakan Agenda Malaysia Biru dengan semangat perpaduan, tekad dan komitmen yang berterusan demi kepentingan rakyat serta masa depan negara.
“Ayuh kita jayakan Agenda Malaysia Biru bersama-sama,” katanya lagi.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membentangkan Agenda Malaysia Biru ketika ucapan dasar di PAU 2026 yang akan menjadi landasan utama kepada tawaran BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. – UMNO Online

