Pemuda UMNO Wilayah Persoal Premium Tanah RM4.67 Juta Diturunkan Kepada RM1,000
KUALA LUMPUR, 17 Nov – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mempersoalkan keputusan Kerajaan MADANI meluluskan pembaharuan pajakan tanah selama 99 tahun kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan premium hanya RM1,000 berbanding anggaran awal kira-kira RM4.67 juta.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi berkata, keputusan itu menimbulkan beberapa persoalan berhubung asas penilaian, formula penetapan premium serta prinsip keadilan dalam pentadbiran tanah.
Beliau mempersoalkan apakah asas penilaian dan formula yang digunakan sehingga premium tanah yang pada awalnya dianggarkan berjumlah RM4.67 juta boleh ditetapkan pada kadar hanya RM1,000.
Selain itu, beliau turut meminta penjelasan sama ada terdapat garis panduan rasmi yang menjamin institusi warisan dan kebajikan daripada semua kaum diberikan pertimbangan yang sama.
Menurutnya, persoalan turut melibatkan nasib kampung-kampung tradisional Melayu di Kuala Lumpur yang masih berdepan ketidakpastian berkaitan status tanah, pembangunan serta jaminan penempatan penduduk.
Beliau turut mempersoalkan kesediaan Kerajaan MADANI melaksanakan pendekatan yang sama terhadap institusi Melayu dan masyarakat lain yang mempunyai kepentingan sejarah serta sosial kepada Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Aliff Firdaus menegaskan bahawa pemeliharaan warisan tidak seharusnya dilihat melalui kepentingan satu-satu komuniti sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira prinsip keadilan secara menyeluruh.
“Pemeliharaan warisan tidak seharusnya dilihat melalui kepentingan satu-satu komuniti sahaja. Keadilan dalam pentadbiran tanah mesti dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang membangkitkan empat persoalan utama kepada kerajaan berhubung keputusan pembaharuan pajakan tanah berkenaan.
Tergasnya lagi, persoalan tersebut memerlukan penjelasan kerajaan bagi memastikan prinsip keadilan dalam pentadbiran tanah dilaksanakan secara menyeluruh. – UMNO Online

