Aktiviti & Komuniti

Ziarah Kasih Dekati Rakyat, Santuni Puan Roshita di Residensi Sakura

PUTRAJAYA: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat terus menjadi keutamaan apabila Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya, bersama Jawatankuasa Surau An-Naurah, Residensi Sakura, Presint 11, mengadakan program Ziarah Kasih bagi menyantuni seorang penduduk, Puan Roshita Hashim, 55, baru-baru ini.

Ziarah berkenaan bertujuan mendekati masyarakat, mengambil tahu keadaan kehidupan penduduk serta menyampaikan sokongan moral kepada keluarga yang berdepan cabaran kesihatan.

Puan Roshita yang berasal dari Tangkak, Johor, kini menetap bersama anak sulungnya, Hafiz, menantu dan tiga orang cucu di Residensi Sakura.

Beliau yang merupakan ibu kepada tujuh orang cahaya mata turut berkongsi perkembangan keluarganya, termasuk anak bongsu yang baru menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kini turut menetap bersama keluarga.

Dalam pertemuan itu, dimaklumkan bahawa Puan Roshita bakal menjalani pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan penilaian lanjut mengenai keadaan kesihatannya.

Datuk Hisamudin berkata, ziarah seumpama itu penting bagi memastikan masyarakat tidak berasa terpinggir, malah sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada komuniti setempat.

“Keprihatinan terhadap rakyat tidak seharusnya terhad kepada program berskala besar sahaja. Sebaliknya, kita perlu turun padang, mendengar sendiri denyut nadi masyarakat dan menyantuni mereka yang memerlukan perhatian.

“Kadangkala, kehadiran dan kesediaan kita untuk mendengar sudah cukup memberi kekuatan serta semangat kepada keluarga yang sedang melalui ujian kehidupan,” katanya.

Beliau turut berharap agar masyarakat terus memupuk semangat kebersamaan dan saling mengambil berat, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan.

Pada masa sama, beliau bersama Jawatankuasa Surau An-Naurah mendoakan agar Puan Roshita dipermudahkan segala urusan pemeriksaan dan rawatan di IJN, dikurniakan kesihatan yang baik serta seluruh keluarganya sentiasa berada dalam keadaan sejahtera.

Semangat Ziarah Kasih ini mencerminkan bahawa kebajikan rakyat bermula dengan keprihatinan, kehadiran dan tindakan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.