Dua Lokasi Parkir Motosikal Tambahan Dicadangkan Berhampiran Stesen MRT Putrajaya
PUTRAJAYA – Masalah kekurangan kemudahan parkir motosikal di kawasan Stesen MRT Putrajaya, khususnya di Jalan P7B, mendapat perhatian apabila pihak Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Putrajaya turun padang bagi meninjau keadaan serta mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk penyediaan parkir motosikal tambahan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, tindakan tersebut diambil susulan aduan pengguna MRT yang berdepan kesukaran mendapatkan tempat parkir motosikal sehingga ada yang terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan siar kaki dan rumput.
Keadaan itu bukan sahaja menimbulkan isu keselamatan dan keselesaan pengguna, malah menyebabkan penunggang motosikal berisiko dikenakan tindakan saman oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan polis.
Menurut beliau, hasil tinjauan di lokasi, sebanyak dua kawasan telah dikenal pasti sebagai cadangan tapak parkir motosikal tambahan bagi menangani masalah berkenaan.
“Keutamaan kita adalah untuk mendengar suara rakyat dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi pengguna setiap hari.
“Kita faham kesukaran pengguna MRT yang terpaksa mencari tempat parkir, sedangkan mereka menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja dan menjalankan urusan harian.
“Justeru, dua lokasi telah dikenal pasti dan cadangan ini sudah dipanjangkan kepada pihak MRT untuk pertimbangan serta kelulusan,” katanya.
Beliau berharap cadangan tersebut dapat diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan agar kemudahan parkir yang lebih teratur, mencukupi dan selamat dapat disediakan demi kepentingan pengguna.
Turut bersama dalam tinjauan berkenaan ialah Pengerusi MPP Sub Zon 6, Sdr. Shariff dan Timbalan Pengerusi Sub Zon, Sdr. Saiful.
Ahmad Faisal menegaskan bahawa usaha turun padang seperti ini penting bagi memastikan setiap aduan masyarakat diberikan perhatian dan tidak sekadar berhenti
pada peringkat aduan semata-mata.
“Apabila rakyat berdepan masalah, kita perlu turun melihat sendiri keadaan di lapangan, mengenal pasti punca dan membawa cadangan penyelesaian kepada pihak yang mempunyai kuasa untuk melaksanakannya.
“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan kemudahan awam di Putrajaya terus ditambah baik dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Usaha ini diharap dapat membuka ruang kepada penyelesaian jangka panjang terhadap isu parkir motosikal di sekitar Stesen MRT Putrajaya, sekali gus memberikan kemudahan dan ketenangan kepada pengguna pengangkutan awam. – UMNOPutrajaya

