Berita

Majlis Jamuan Teh Eratkan Silaturrahim Antara Rakyat dan Pemimpin

PUTRAJAYA – Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah turut sama meraikan kira-kira 6,000 warga daripada ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam Majlis Jamuan Teh sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011 di Dataran Perbadanan Putrajaya, Ahad lalu.

Dalam majlis tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut hadir dalam majlis yang merupakan acara terakhir sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Majlis anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya ini diadakan bagi memperkukuhkan jalinan silaturrahim di kalangan warga Wilayah Persekutuan dari pelbagai peringkat di samping memberi peluang kepada rakyat khususnya warga kota bertemu dan beramah mesra secara dekat dengan para pemimpin.

Raja Nong Chik turut menyampaikan sumbangan bernilai RM100.00 setiap seorang daripada Yayasan Wilayah Persekutuan dan KWPKB serta agensi-agensinya kepada seramai 900 orang warga Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada warga emas, Golongan Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah.