Berita

Ibu Bapa Perlu Prihatin Perkembangan dan Pembelajaran Anak-anak – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ibu bapa agar tidak alpa dalam memastikan pembelajaran anak-anak mendapat keutamaan dan perhatian sepenuhnya.

Katanya, ibu bapa adalah individu paling rapat yang akan memastikan perkembangan anak-anak khususnya bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan dan membentuk keazaman bagi masa hadapan.

“Perhatian dan kasih sayang akan dapat menyemai sifat-sifat murni serta keyakinan kepada anak-anak untuk meneruskan pembelajaran dan menuntut ilmu bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa merasmikan Klinik UPSR 2011 anjuran bersama Ahli Parlimen Putrajaya dan Koperasi Keusahawanan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 28 hingga 29 Mei tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium JPM, Kompleks B, Putrajaya.