Teruskan Perjuangan UMNO!
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t, atas segala nikmat dan kekuatan yang telah diberikan kepada kita dan semua warga UMNO kerana kita terus kukuh dalam mengekalkan kesinambungan parti yang menjadi warisan dari generasi kepimpinan terdahulu.
Kita telah bersama-sama mengharungi pahit getir yang menguji kekuatan dan kerukunan kita dalam satu organisasi, secara tidak langsung menjadi satu kesatuan kepada bangsa Melayu untuk membangun, maju dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai arena.
Sedarlah, segala cabaran yang timbul, baik dari luar mahupun dari dalam parti sendiri ia memerlukan perpaduan dari semua anggota parti untuk terus bekerjasama, memperkukuh kekuatan dan melihat masa hadapan bersandarkan generasi hari ini.
Perkembangan politik semasa juga tidak kurang membimbangkan yang mana memperlihatkan ketaksuban parti pembangkang untuk berkuasa dan mengejar kedudukan hinggakan sanggup memecahbelahkan persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat. Namun janganlah pula kita terleka dan terpengaruh dengan adu-domba dan kebobrokan pembangkang.
Bukan hanya bersandarkan perancangan dan startegi sahaja sebaliknya kekukuhan dan kerjasama bersama juga perlu sebagai landasan untuk melonjak parti kita ke tempat yang terbaik. Lantaran itu, sama-samalah kita dan semua jentera UMNO terus mencurah keringat dan bakti agar UMNO terus maju dan unggul di mata rakyat.
Biarlah segala perkara yang melanda parti kita dahulu menjadi satu sumber inspirasi dan tauladan yang tiada tolok bandingnya untuk kita terus kukuh dan bersemangat dalam usaha memartabatkan agama, bangsa dan negara. Teruskan perjuangan UMNO!