Berita

Tengku Adnan Iringi PM Luang Masa Lawat Floria 2011

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluangkan masa hampir setengah jam meninjau pameran taman-taman bunga sempena Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2011) di sekitar Pesisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya, 9 Julai lalu.

Sebelum itu Perdana Menteri telah menyempurnakan gimik pelancaran festival tersebut dan kemudian melihat keindahan taman-taman bunga mawar yang menjadi tema Floria 2011 pada kali ini.

Matlamat festival yang diadakan buat kali keempat dengan tema Mawar Untuk Selamanya itu ialah untuk menonjolkan Putrajaya sebagai bandar dalam taman dan menjadikan Floria ikon yang sinonim dengan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Floria 2011 yang akan berlangsung sehingga 17 Julai itu menyasarkan kehadiran sebanyak 800,000 pengunjung untuk menyaksikan keindahan panorama lebih 400,000 tumbuhan berbunga dan berwarna-warni.

Selain itu lebih 200 aktiviti harian dirancang selain persembahan hiburan dan kesenian untuk orang ramai.

Turut sama mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen selain Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan; dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.