Berita

Istimewanya Maidatul Al-Rahman di Putrajaya

PUTRAJAYA – Program Maidatul Al-Rahman yang membawa pengertian pemberian yang pemurah telah menyemarakkan waktu berbuka puasa apabila masyarakat dari pelbagai lapisan bersama-sama dalam satu waktu menikmati juadah yang disediakan.

Bertempat di aras atas Medan Selera Presint 8, saban hari sejak 1 Ramadan lalu dapat dilihat orang ramai menikmati juadah yang disediakan dalam suasana yang akrab dan erat.

Lebih menarik, majlis yang dikhususkan untuk orang Islam tersebut turut disertai oleh masyarakat bukan Islam yang menunjukkan hubungan harmoni masyarakat Malaysia dalam apa jua keadaan.

Program tersebut diwujudkan bukan hanya untuk mengeratkan hubungan silaturrahim warga Putrajaya malahan ia dapat menyemarakkan amalan bersedekah khususnya di bulan Ramadan.

Biarpun pada awalnya persediaan juadah hanya diperuntukkan kepada 200 orang sahaja tetapi sambutan yang diberikan amat memberangsangkan sehinggakan ada ketikanya menjangkau sehingga 600 orang.