Berita

Mesyuarat PIBG Wadah Perbincangan Ibu Bapa Dan Guru

PUTRAJAYA – Ibu bapa diminta agar tidak memandang remeh terhadap mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) yang diadakan di sekolah sebaliknya menjadikan ia sebagai antara agenda yang wajib dihadiri bagi mencapai kejayaan anak-anak.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, banyak input dan idea yang dapat dikongsi bersama antara guru-guru dan ibu bapa bagi memastikan kejayaan maksima dapat dicapai.

”Kita perlu menjadikan sekolah jenis kebangsaan sebagai contoh yang menunjukkan kehadiran ibu bapa dalam menyuarat PIBG sangat membanggakan kerana mereka mahu terlibat dalam semua aspek pembelajaran anak-anak selain dapat memberikan pandangan yang terbaik untuk persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Presint 14 (1) dekat sini, Sabtu (24 Mac 2012).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut berharap agar ibu bapa tidak meletakkan tanggungjawab dalam mengajar anak-nak mereka terhadap guru semata-mata.

“Ibu bapa juga perlu mengambil berat soal pembelajaran anak-anak dan bersama-sama pihak sekolah melalui PIBG untuk berganding bahu dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik demi masa depan mereka,” katanya.

Beliau turut berharap agar pada masa akan datang maka setiap mesyuarat PIBG yang diadakan akan dapat melibatkan golongan ibu bapa sepenuhnya dan menjadikan ia sebagai program wajib setiap tahun.