Berita

Rakyat Perlu Hargai Keprihatinan Kerajaan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor meminta rakyat agar menghargai apa yang dinikmati hasil daripada keprihatinan kerajaan Barisan Nasional khususnya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat termasuklah kakitangan awam.

“Jika sebelum ini kakitangan kerajaan tidak mempunyai kemudahan perumahan dan terpaksa tinggal menyewa atau mendiami kawasan-kawasan setinggan tetapi dengan keprihatinan BN dan pemimpin tempatan, penjawat awam hari ini mendapat keselesaan dengan tinggal di rumah-rumah yang dilengkapi kemudahan infrastruktur termasuk sekolah, klinik, hospital dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Juara Rakyat Jom Sihat bertemakan ‘Menjaga Kesihatan Menjana Masyarakat Sihat’ bertempat di Kawasan Perumahan Penjawat Awam, Fasa 8, Presint 9, di sini hari ini (14 April).

“Keprihatinan kerajaan juga telah memudahkan urusan seharian termasuklah berulang-alik ke tempat kerja ekoran kedudukan yang strategik dan tidak jauh dari tempat kediaman masing-masing,” katanya lagi.

Program Juara Rakyat yang dianjurkan oleh Persatuan Komuniti Penduduk Fasa 8 dengan kerjasama UMNO Cawangan Bunga Santalia telah dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti senamrobik, penerangan kecemasan oleh Bomba dan Penyelamat, taklimat penjagaan kesihatan, derma darah, pertandingan bayi ‘Jom Sihat’, pemeriksaan kesihatan, dan penyerahan alatan kitar semula.

Selain itu turut diadakan penyampaian sumbangan kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU), di samping gerai jualan untuk dikunjungi oleh penduduk tempatan.