Ucapan

Selamat Menyambut Hari Natal & Salam Tahun Baru 2013

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia

Tahun 2012 sudah hampir melabuhkan tirai dengan Tahun Baru 2013 semakin menghampiri kita. Sesungguhnya, pelbagai perkara telah kita lalui sepanjang tahun ini yang mana ia secara tidak langsung memberi pengisian dalam kehidupan kita dengan pelbagai agenda sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kerana negara kita tetap berada dalam kesejahteraan dan terpelihara daripada sebarang malapetaka malah pelbagai perayaan dapat diraikan bersama walaupun kita berbilang bangsa dan pelbagai budaya serta agama berbeza.

Atas landasan teguh sebagaimana kesatuan dalam kepelbagaian, kita hidup penuh rukun dengan saling menghormati antara satu sama lain. Justeru, menjelang Hari Krismas yang mana ia adalah antara cuti umum bagi masyarakat di Malaysia maka kita meraikannya dengan pelbagai cara.

Istilah kunjung berkunjung dalam setiap perayaan sudah menjadi budaya Malaysia malah cuti umum turut dimanfaatkan sebagai satu peluang untuk bersama-sama keluarga. Semoga dengan cuti sempena Hari Natal ini juga akan digunakan sepenuhnya untuk perpaduan dan permuafakatan dalam pelbagai kaum.

Kepada penganut Kristian pula diucapkan Selamat Menyambut Hari Natal.

Wassalam

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen/Ketua UMNO Bahagian Putrajaya