HAMAS Terus Puji, Iktiraf Peranan UMNO Bantu Umat Islam Seluruh Dunia
KUALA LUMPUR, 27 Dis – HAMAS terus mengiktiraf UMNO sebagai sebuah parti yang didokongi oleh umat Islam yang dilihat begitu aktif dalam membantu umat Islam yang terlibat di dalam konflik di serata dunia terutamanya terhadap umat Islam di Palestin.
Ketua Perhubungan Antarabangsa HAMAS, Usamah Hamdan berkata apa yang dilakukan oleh UMNO hari ini merupakan sebagai satu perlaksanaan tuntutan Islam dalam usaha untuk membantu umat Islam yang dilanda konflik melalui pelbagai bantuan samada berbentuk fizikal dan spiritual.
“UMNO sebagai tulang belakang kerajaan Malaysia, telah membuktikan komitmen mereka dalam usaha untuk membantu umat Islam di seluruh dunia yang menghadapi konflik di negara masing-masing untuk meringankan beban mereka. Bahkan UMNO telah memperlihatkan komitmennya untuk membantu rakyat Palestin sejak dari awal episod pencerobohan Zionis ke bumi Palestin lagi.
“Bukan sahaja terhadap umat Islam di Palestin, tetapi UMNO juga prihatin dengan nasib umat Islam di negara-negara Islam lain yang sedang berada di dalam situasi konflik baik peperangan, kebuluran dan sebagainya,” jelasnya kepada UMNO-Online selepas mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di PWTC pagi ini.
Selain itu, beliau juga menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti Islam yang berjaya membangunkan Malaysia sehingga mencapai tahap kemajuan dalam pelbagai sudut sehingga dihormati oleh negara-negara maju dan menjadi role model kepada negara-negara Islam yang lain.
“Malaysia merupakan sebuah negara contoh bagi keseluruhan negara-negara Islam yang bernaung di bawah OIC terutama dari sudut pembangunan, pentadbiran dan ekonomi. Kejayaan dan kemajuan Malaysia hari ini bagi saya merupakan usaha UMNO sebagai tulang belakang kerajaan Malaysia, dengan perlaksanaan dan perancangan yang tersusun dan dinamik, sehingga negara ini berjaya mencapai tahap kemajuan yang membanggakan,” jelas beliau.
Justeru itu, di dalam pertemuan yang berlangsung hampir satu jam bersama Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, beliau mewakili HAMAS menyatakan hasrat untuk terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia, khususnya UMNO terutama dalam bidang pentadbiran, pelajaran dan ekonomi.
“Kerjasama ini termasuklah menghantar wakil-wakil kerajaan HAMAS untuk menimba pengalaman di Malaysia, bagaimana cara untuk mengurus tadbir negara, pembiayaan pembelajaran pelajar-pelajar Palestin untuk menyambung pelajaran di Malaysia, dan juga meminta agar visa perlarian politik yang terdiri daripada rakyat Palestin yang berada di negara ini dipanjang tempohnya untuk berada di sini,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyambut baik penghargaan yang diberikan oleh HAMAS terhadap UMNO dan menyatakan kesediaan UMNO untuk terus bekerjasama dengan pihak HAMAS dalam membantu umat Islam di negara tersebut.
Menurut beliau, UMNO akan terus mengadakan hubungan dua hala yang erat bersama pihak HAMAS dalam usaha untuk membantu umat Islam dan rakyat Palestin dalam menghadapi konflik peperangan di negara tersebut.
“Usaha membantu rakyat Palestin merupakan satu komitmen Malaysia, sebagai sebuah negara Islam dan juga sebagai ahli anggota OIC. Selagi termampu, Malaysia akan terus menghulurkan sumbangan dalam apa jua bentuk dalam misi-misi bantuan dan keamaman yang dihantar oleh kerajaan bagi membantu umat Islam di sana dalam bentuk perubatan, kewangan dan lain-lain,” ujarnya.
Bagi umat Islam di negara ini yang ingin mengetahui informasi terkini situasi konflik di Palestin boleh mengikuti twitter Palestine Culture Organisation Malaysia (PCOM) di alamat twitter.com/pcomalaysia atau pun melalui facebook di alamat facebook.com/palestiniancultural. –MediaUMNO