Aktiviti & Komuniti

‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ Dirai Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1434 Hijrah atau tahun 2013 Masihi yang jatuh pada 12 Rabiulawal 1434 bersamaan 24 Januari 2013 (Khamis) akan diadakan di Putrajaya dengan majlis sambutannya bertempat di Dewan Utama Masjid Putra.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dijadualkan berkenan berangkat dan merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1434H/2013M ini dengan turut dijangka hadir dalam majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet serta perwakilan-perwakilan negara luar.

Majlis sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini membawa tema “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” dengan dua acara utama akan dilaksanakan sempena sambutan itu iaitu perarakan kontinjen dan perhimpunan majlis sambutan Maulidur Rasul.

Perarakan kontinjen akan disertai oleh 154 kontinjen dengan jumlah 12,973 peserta, di mana 74 merupakan kontinjen kerajaan, 30 kontinjen badan berkanun, lapan badan beruniform, 21 kontinjen swasta, empat kontinjen pertubuhan bukan kerajaan (NGO), lima kontinjen institusi pengajian tinggi (IPT) dan 12 kontinjen sekolah.

Kontinjen ini akan berarak sejauh 1.7 kilometer bermula di Persimpangan Lebuh Bestari dan Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra.

Acara perarakan akan dimulai dengan ucapan dan perlepasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom jam 7.15 pagi dan dijangka berakhir jam 8 pagi.

Menariknya perarakan pada tahun ini akan diserikan dengan pembabitan dari pasukan kontinjen dari udara, darat dan air.