Berita

Nilai Islam Meresap Di ‘Journey Of Nur Concert Putrajaya’

PUTRAJAYA – Bersempena dengan Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2013, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah meluangkan masa bersama-sama warga tempatan menyaksikan ‘Journey Of Nur Concert’ yang diadakan pada 9 November 2013. Festival anjuran oleh Perbadanan Putrajaya (PPJ) ini menjadi acara tahunan dalam melakar Putrajaya sebagai pusat kecemerlangan seni Islam dan budaya, serta meningkatkan imejnya sebagai hab pelancongan.

Festival tersebut adalah satu kesungguhan dalam merintis nilai-nilai Islam melalui perspektif masyarakat yang sederhana di mana seni dan budaya mengambil pentas utama dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat antarabangsa. Lagu-lagu yang bertemakan ketuhanan dan keinsafan telah dipersembahkan oleh artis-artis terkenal seperti Maher Zain, Opick, Zain Bikha, Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir dan Raihan. Turut hadir, Presiden PPj, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.