Berita

UMNO Putrajaya Bersama Skuad Sayang Wanita BN Bantu Mangsa Banjir

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya melalui Biro Kebajikannya yang dipenegrusikan oleh Puan Husna Rahaman bersama-sama dengan Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional (BN) dalam usaha mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir. Ketua Wanita BN merangkap Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kesemua barangan berupa sebanyak 10,000 kotak buah kurma dan tuala wanita berjaya dikumpulkan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

“Selain dua barangan tersebut, kita juga akan mengagihkan lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan dewasa, pakaian dalam, makanan segera seperti sardin dan mee serta air minuman.

“Kami juga merayu kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan supaya dapat memberi barangan dan pakaian untuk golongan lelaki kerana buat masa ini ramai yang memberi baju kurung,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membungkus pelbagai barangan di Aras 4, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Isnin, 29 Dis 2014.

Sharizat berkata pihaknya juga turut akan mengerahkan 200,000 ahli Skuad Sayang Wanita di seluruh negara untuk membantu mengagihkan barangan tersebut kepada para mangsa selain membantu keperluan lain.

Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno dan Wanita BN melancarkan Misi Sayang: Sumbangan Barangan Bagi Bantuan Mangsa Banjir, Khamis lalu bagi meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas teruk.

Tambah Shahrizat, pihaknya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak ATM untuk mengambil dan menyerahkan kesemua barangan ini kepada mangsa banjir setiap dua hari sekali.