Aktiviti & KomunitiBerita

Manfaatkan Mesyuarat Cawangan UMNO Untuk Perkukuh Akar Umbi

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan menyeru ahli-ahli UMNO khususnya kepimpinan di peringkat Cawangan untuk mengaplikasikan persidangan yang berlangsung sebagai peluang memperkukuh akar umbi.

Katanya, tarikh persidangan bagi mana-mana yang masih belum bersidang adalah bermula 15 Julai ini dan ia adalah peluang terbaik bagi menyatukan perpaduan dan muafakat di peringkat akar umbi.

“Ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi adalah teras terpenting dalam memastikan kesinambungan perjuangan UMNO terus marak malah mereka inilah pejuang sebenar yang tetap setia dalam memastikan keutuhan parti yang mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Jelas beliau, dengan persidangan yang bakal diadakan di peringkat Cawangan tentunya, semangat dan jati diri dalam memperkukuh UMNO akan terus marak.

Sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan tarikh persidangan Cawangan bermula 15 Februari hingga 19 April 2020 namun terpaksa ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac akibat pandemik COVID-19.

Berikutan perkembangan terkini dalam pandemik COVID-19, awal bulan ini dan selaras dengan kenyataan kebenaran bermesyuarat daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh mesyuarat Cawangan UMNO, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri( yang belum bermesyuarat) ialah pada 15 Julai hingga 31 Ogos sementara Mesyuarat Perwakilan Bahagian ialah pada 15 Sept hingga 31 Okt. – UMNOPutrajaya