Guan Eng Diseru Jadi Anak Jantan Lawan Di Mahkamah
GEORGETOWN: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diingatkan supaya menjadi ‘anak jantan’ dan berdepan kes rasuahnya secara bermaruah.
Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, Guan Eng dan isterinya, Betty Chew tidak perlu menjaja kisah pertuduhan rasuah mereka kepada umum dan menggambarkan diri mereka sebagai mangsa.
Katanya, proses perundangan dan kehakiman yang dihadapi pasangan itu bukan sesuatu yang luar biasa sebaliknya perkara sama turut dilalui ramai individu lain sama ada rakyat biasa atau pemimpin politik.
“Tidak pernah saya lihat mana-mana individu yang dikenakan pertuduhan seperti Guan Eng dan Betty berulang kali membuat sidang akhbar dan menangis merayu simpati rakyat.
“Jika berasakan tuduhan ke atas mereka adalah fitnah dan tidak berasas, tindakan tepat adalah melawannya di mahkamah, bukannya membuat kesimpulan sendiri dalam sidang akhbar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Guan Eng; Betty dan seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth dekat sini atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurut Cheng Guan, DAP juga perlu berhenti memohon rakyat menderma bagi membantu kos guaman Guan Eng kononnya sebagai langkah solidariti bersama-sama Setiausaha Agung parti berkenaan.
Katanya, berapa pun nilai derma yang diminta oleh DAP daripada rakyat, namun ia bukan tindakan wajar apatah lagi dalam keadaan majoriti rakyat sedang terkesan dengan tekanan ekonomi akibat Covid-19.
“Paling utama, rakyat tidak perlu diheret bersama untuk menanggung pertuduhan rasuah dan strategi meraih simpati rakyat sebegini tidak sepatutnya dilakukan oleh sebuah parti yang kononnya membela kebajikan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE