Aktiviti & Komuniti

PerWEP Sokong Kepimpinan Ku Nan, Teguh Solidariti Bersama ‘Ketua Kampung’

PUTRAJAYA – Persatuan Warga Emas Putrajaya (PerWEP) menyokong teguh kepimpinan Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini disabitkan dengan dakwaan bersalah menerima rasuah bernilai RM2 juta.

Kata Yang DiPertuanya, Tuan Haji Roslan Abu Hanif, anggota PerWEP amat mengenali kepribadian Ku Nan sebagai pemimpin di Putrajaya malah lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’.

“Beliau banyak membantu dan memberi sumbangan bagi memudahkan pelbagai perkara yang bukan hanya dibuat kepada para pengundinya tetapi juga kepada semua komuniti di sini,” katanya.

Jelasnya, sebagai wakil rakyat, Ku Nan sentiasa memberi sokongan kepada masyarakat Putrajaya.

“Sebagaimana PerWEP, beliau sentiasa membantu dan memberikan apa-apa sokongan kepada kami dan setiap sumbangan yang diberikan amat bermakna, malah kami warga emas amat menghargai kebaikan serta bantuan beliau kepada kami di sini,” katanya.

Maklum beliau, Ku Nan sentiasa mengutamakan PerWEP terutamanya dalam memastikan tahap kesihatan dan perubatan anggota diambil berat.

Dalam kesempatan ini, Tuan Haji Roslan turut menzahirkan penghargaan kepada Ku Nan kerana telah memberikan sumbangan sekampit beras kepada setiap anggota PerWEP yang hadir dalam mesyuaratnya, hari ini.

“Kami anggota PerWEP amat berterima kasih kepada beliau kerana sentiasa ingat pada kami. Ini bukanlah kali pertama sumbangan ini dilaksana tetapi pemberian dan sumbangan dari beliau sentiasa dilaksana secara berterusan dalam pelbagai bentuk,” katanya lagi.

Dalam hal ini, beliau berharap agar mana-mana pihak mengambil contoh kepimpinan yang dilaksanakan oleh Ku Nan iaitu sentiasa memenuhi keperluan rakyat.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat PerWEP kali ke-11 yang diadakan di Dewan Kejiranan Presint 16, hari ini.

PerWEP yang mempunyai keanggotaan lebih 500 orang melaksanakan mesyuarat dengan norma baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan dan hanya 120 sahaja dibenarkan hadir kali ini. – UMNOPutrajaya