Rencana

Darurat… Sudahlah Rakyat ‘Sakit’ Makin Tambah Pula Perit

PELAKSANAAN darurat yang dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya di luar dari jangkaan kerana kesannya bukan hanya kepada rakyat dan negara tetapi imej dimata antarabangsa juga akan tercalar.

Bukanlah niat untuk mempertikaikan perkenan Yang DiPertuan Agong yang dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan kerana ia tentunya adalah atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai PN.

Juga, sememangnya tidak menghairankan darurat dilaksana atas alasan langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia kerana ada negara-negara lain juga pernah bertindak sedemikian sebagaimana Australia, Perancis, Finland, Indonesia, Filipina, Jepun dan Thailand.

Namun pelaksanaannya menimbulkan persoalan, adakah benar atas langkah proaktif COVID-19 atau langkah politik berikutan PN semakin susut sokongan selepas Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Machang secara terbuka menarik sokongan kepada kerajaan yang ‘rapuh’. Hal ini kemudiannya diikuti oleh Ahli Parlimen Padang Rengas selain ada desas-desus akan diikuti oleh beberapa oleh lagi Ahli Parlimen UMNO.

Benar, UMNO dari awal iaitu sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dengan sendirinya, telah meminta agar mandat dikembalikan sahaja kepada rakyat namun kebijaksanaan Yang DiPertuan Agung menyelesaikan permasalahan dan ahli-ahli Parlimen UMNO atas nama kepentingan rakyat menyokong penubuhan kerajaan PN dan mengangkat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri biarpun mempunyai bilangan paling sedikit kerusi Parlimen.


Demi rakyat, ahli-ahli Parlimen menyokong pelbagai agenda PN dan dalam masa yang sama mendesak pelbagai usaha dibuat bagi membantu rakyat, malah sokongan ini termasuklah meluluskan rang undang-undang di Parlimen yang di dalamnya ada Belanjawan 2021.

Tindakan ahli-ahli Parlimen UMNO semuanya dibuat adalah berlandaskan hak rakyat, keperluan dan kebajikan rakyat kerana perjuangan UMNO atas khidmat bakti dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat.

Memang, ‘langkah darurat’ pernah diajukan oleh PM pada Oktober lalu iaitu sebelum pembentangan Belanjawan 2021 dilaksana, namun ditolak dan penolakan ini adalah berdasarkan kepada asbab demi negara dan rakyat yang menjadi keutamaan.

Kini, dalam rencah politik yang ‘panas’ khususnya apabila mesyuarat peringkat bahagian UMNO awal Januari lalu mengangkat usul untuk memutuskan kerjasama dengan PPBM lantaran UMNO telah ‘dibuli’ sejak dari awal sokongan diberi, maka pelbagai spekulasi berlaku.

Tuduhan UMNO rakus, gila kuasa, tidak pentingkan rakyat dan pelbagai lain bertebaran sedangkan mana-mana pemimpin UMNO yang memberikan kenyatan secara jelas berkata mahukan pilihan raya disegerakan yang akan disertakan dengan ayat apabila COVID-19 selesai dan diminimumkan.

Perjuangan dan permintaan ahli-ahli Parlimen UMNO terhadap PN selaku kerajaan diabaikan sedangkan ianya adalah demi kelangsungan kehidupan rakyat sebagaimana tuntutan pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pencarumnya tanpa syarat namun PN melaksanakan seakan melepas batok di tangga.

Itu belum lagi gesaan UMNO agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Tabung Haji yang dikatakan menjual pelbagai aset dan ladang-ladangnya, minta tubuh RCI siasat dakwaan Bank Negara kerugian berbilion dolar dalam pasaran pertukaran asing semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan minta RCI kes kematian anggota bomba, Mohd Adib Mohd Kassim.

Demi kepentingan rakyat dan keadilan, UMNO juga mendesak kerajaan PN membuka semula kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Antara kes kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya membabitkan pemimpin Dap bernilai RM6.3 bilion selain menilai semula keputusan penjualan lambak aset strategik negara dan agensi berkepentingan rakyat termasuklah Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun UMNO terus dimomokkan dan dijadikan ‘kambing hitam’ atas pelbagai kepincangan PN dalam mentadbir negara hinggakan langkah darurat ini diambil.

Wajarkah…? UMNO memperjuangkan hak rakyat… rakyat yang sememangnya telah terkesan dari sudut ekonomi sejak zaman pentadbiran PH semakin terhimpit apabila ekonomi semakin tenat lantaran penularan COVID-19 awal tahun lalu dan kini, apa lagi yang boleh diibaratkan keadaan rakyat?

PN terbukti gagal merungkai krisis rakyat biarpun mendapat sokongan berkali-kali dari kepimpinan ahli-ahli Parlimen UMNO. Sudahlah para pemimpin UMNO sendiri masih ‘terikat’ dengan kes mahkamah atas pelbagai dakwaan dari kerajaan PH yang melakukan pendakwaan politik namun atas kepercayaan kepada keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang maka tidak ada seorang pun pemimpin UMNO mohon digugurkan atau lepas kes begitu sahaja.

Rakyat… bagaimana dengan kehidupan rakyat? Benar… dari sakit perit bertukar tenat namun kelangsungan sebuah perjalanan tetap diteruskan biarpun patah sayap kan tetap bertongkat paruh.

Dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat yang berlangsung sehingga ke Ogos, mahu atau enggan… suka atau tidak, pilihan yang ada hanyalah teruskan kehidupan yang semakin samar.

Samar…? Ya, kerana langkah darurat yang dicadangkan PM tidak disusuli oleh tindakan bagi membantu rakyat sebaliknya anak-anak masih perlu ke sekolah sedangkan sektor pekerjaan amat terhad yang dibuka.

Ingatlah para pemimpin atas nama PN… perut rakyat masih juga mesti diisi, anak-anak masih menyusu, perlukan lampin pakai buang, bil api air adalah satu keperluan selain bayaran pinjaman perumahan, kenderaan dan macam-macam lagi hutang di sektor kewangan tetap berjalan.

Sebenarnya, rakyat nakkan vaksin, nakkan peluang pekerjaan, nakkan ekonomi kembali stabil… tapi darurat yang disuapkan PN…. Apa lagi langkah PN selepas ini?

Luahan Rasa,
Farhana Malek