Terima Kasih Ketua Kampung, Persediaan Luar Jangka Permudah Rakyat Berdepan Kesulitan
PUTRAJAYA – Pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada rakyat tempatan ternyata dapat memberi jalan keluar kepada mereka yang berdepan permasalahan khususnya dalam kesukaran yang tidak terjangka.
Sebagai wakil rakyat yang sentiasa berdamping dengan masyarakat dan menyelami isi hati komuniti setempat, Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya melalui Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya telah menyediakan pelbagai keperluan luar jangka untuk mereka yang kesempitan termasuklah bagi berdepan dengan kematian dan pengurusan jenazah.
Hari ini, komuniti Putrajaya di UMNO Cawangan Bunga Tasbih telah kehilangan seorang ahlinya apabila Saudara Abu Zaren telah kembali ke rahmatullah.
Sehubungan itu, Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya telah membantu menyempurnakan urusan jenazah hinggalah Allahyarham Abu Zaren selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, hari ini.
Dalam hal ini, adik kepada balu Allahyarham telah menzahirkan penghargaan kepada Tengku Adnan yang telah membantu keluarganya dalam pengurusan jenazah.
“Assalamualaikum… Saya adik kepada isteri Arwah Abu Zaren yang baru selesai dikebumikan petang ini. Saya mengucapkan jutaan terima Kasih pada datuk atas pertolongan dalam menguruskan jenazah. Hanya Allah yan dapat membalasnya. Saya mewakilkan ayah dan ibu saya serta balu doakan datuk moga diberi kesihatan, dimurahkan rezeki dan dirahmati serta dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.
“Terima Kasih banyak-banyak datuk… jasa dan budi datuk hanya Allah saja yang mampu balas,” katanya kepada ‘ketua kampung’ yang sentiasa ringan tulang kepada rakyat.
Tengku Adnan turut melahirkan rasa syukur kerana urusan Allahyarham dipermudahkan dan semuanya lancar
“Syukur alhamdulilah semuanya berjalan lancar. Al-fatihah untuk Arwah dan salam takziah kepada semua keluarga. Tabahkan hati menghadapi dugaan ini,” katanya.
Perjalanan akhir Allahyarham Abu Zaren di Tanah Perkuburan Presint 20 telah diiringi anggota keluarga terdekat bersama wakil masyarakat termasuklah Ketua UMNO Cawangan Bunga Tasbih, Tengku Muhammad Hafiz. Dalam suasana hiba, amalan SOP dan kawalan kendiri dengan penjarakan sosial bagi mengelakkan COVID-19 tetap diaplikasi demi keselamatan semua.
Sememangnya, sudah menjadi kelaziman kepada warga Putrajaya yang akan merasai pelbagai bantuan dari Tengku Adnan bagi memastikan warga tempatan terbela dan mendapat pelbagai khidmat serta dipermudahkan urusan melibatkan apa-apa juga keadaan.
Inisiatif ini telah dilaksana oleh Tengku Adnan sejak beliau menjadi wakil rakyat di sini sebagai usaha untuk membantu mengurangkan beban ahli keluarga dan rakyat tempatan khususnya dalam berdepan kesempitan dan tekanan hidup dari pelbagai sudut.
Semoga segala usaha murni dan semua kebaikan yang dilakukan akan mendapat keberkatan dari Allah SWT. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.