COVID-19: Malaysia Catat Kes Harian Tertinggi 3,337 Kes – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi positif COVID-19 apabila 3,337 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini meningkat kepada 33,989 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, tujuh daripadanya adalah kes import manakala selebihnya, 3,330 kes melibatkan penularan tempatan.

“Kes jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan jumlah tertinggi apabila 3,337 kes dilaporkan hari ini dengan 15 kematian. Jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia pula meningkat kepada 147,855 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Angka tertinggi kes harian COVID-19 sebelum ini adalah 3,309 kes yang dicatatkan pada Selasa lepas.

Bagi kes penularan tempatan, beliau memaklumkan 2,142 kes melibatkan warga tempatan dan 1,188 kes bukan warganegara.

Beliau berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 1,036 kes, diikuti Johor 460 kes dan Sabah 389 kes.

“Sebanyak 153 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (63 kes), Kluster Tropika (51), Kluster Penjara Jalan Harapan (34), Kluster Penjara Kepayan (dua), Kluster Tembok Choh (satu), Kluster Tembok Gajah (satu), dan Kluster Pagar Siput (satu),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian pula membabitkan sembilan lelaki berusia antara 53 hingga 81 tahun serta enam wanita termasuk dua bukan warganegara berusia antara 27 hingga 91 tahun, di Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 195 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 86 kes memerlukan bantuan pernafasan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: