Tiga Dekad UMNO Sabah, Rakyat Tetap Jadi Keutamaan – Zahid
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata soal rakyat harus menjadi keutamaan dan untuk itu seharusnya sebarang perbedaan pendapat perlu diketepikan sebaliknya masing-masing terus ke depan untuk bersama-sama dalam mencari titik persamaan.
Dalam ucapannya sempena 30 tahun UMNO Sabah, Ahmad Zahid yang menyampaikan perutusan menerusi sidang televideo berkata ‘template’ yang ada di negeri berkenaan harus dialu-alukan dan diterjemahkan pelaksanaannya yang mana berpaksikan kepada kepentingan rakyat semata-mata.
“Soal rakyat adalah soal yang sangat utama dan dalam keadaan inilah kita harus melupakan titik bengit di kalangan kita. Yang penting adalah rakyat dan kita berada di persada politik dan kepimpinan kerana rakyat dan rakyat harus didahulukan. Rakyat Sabah tidak akan pernah dilupakan.
“Dalam keadaan itulah saya fikir Gagasan Rakyat Sabah (GRS) biarpun pelbagai parti berada di dalamnya….tetapi saya memandang bahawa ‘template’ atau acuan ini harus dialu-alukan dan diterjemahkan pelaksanaannya. Ada cahaya terang di hujung terowong. Keikhlasan kita berjuang…Insya Allah kejayaan bersama dengan kita dan kita yakin akar umbi UMNO tetap kukuh dan utuh.
“Ketepikan perbedaan. Tentunya perbedaan pendapat harus dilayan namun harus ada akhlak untuk menangani perbedaan pendapat. Ada adab dalam menangani perbedaan. Dalam keadaan inilah lupakan titik bengit. Rakyat tidak harus dilupakan. Kita lupakankan perbedaan di kalangan kita dan tentu sunatullah kita sebagai manusia biasa mempunyai kelemahan dan tentunya perbedaan pendapat harus dilayan namun harus kita ada tatacara dan ada tasawuf dan kita ada akhlak untuk menangani perbedaan pendapat, maka perbedaan pendapat ini mesti ada adabnya,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid lagi tempoh tiga dekad UMNO Sabah merupakan satu tempoh yang cukup panjang dan pelbagai cabaran dan rintangan telah dilalui serta ditempuhi malah tentunya fokus serta kemajuan serta pembaharuan yang telah dilakukan telah memberikan satu perjalanan yang amat sukar untuk dilupakan oleh semua pihak.
“Tentunya tiga dekad yang lalu adalah satu tempoh yang panjang dan kita telah melalui pelbagai ranjau rintangan dan juga pelbagai cabaran. Tentunya semua cabaran-cabaran ini telah mendewasakan kita.
“Kita telah mencapai banyak kejayaan dan biarpun kita menghadapi pelbagai halangan keprihatinan kita sebagai sebuah parti dan selama 28 tahun menjadi kerajaan di Sabah ianya telah dapat mendekatkan jarak antara rakyat dengan pemimpin, jarak antara semenanjung dan Sabah dengan Sarawak dan ini tentunya satu manifestasi yang memperlihatkan bagaimana UMNO di Sabah telah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,” tambahnya.
Ahmad Zahid seterusnya menambah perjuangan perlu diteruskan dan masing-masing perlu bergerak ke depan tanpa menoleh lagi ke belakang kecuali untuk melihat sejarah.
“Saya mewakili seluruh kepimpinan mengucapkan selamat berjuang kepada seluruh rakan-rakan UMNO Sabah. Teruskan berjuang dan jangan ada sekelumit pun rasa amarah di kalangan kita pada rakan-rakan kita yang lain. Kita harus bergerak ke depan daripada sekarang.
“Jangan remehkan kehendak rakyat. Gunakan kesempatan ini untuk raih sokongan dan dokongan rakyat. 11 Mei (tahun ini) UMNO berada 75 tahun kelahiran. Mungkin 25 tahun akan datang apabila kita tidak mungkin berada di persada kepimpinan lagi kita akan dikenang ketika parti akan merayakan sambutan ulang tahun,” ujarnya.
UMNO Sabah esok akan menyambut ulangtahun ke 30 penubuhannya dan majlis ringkas diadakan pada malam ini di negeri berkenaan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan perutusannya secara telesidang dari Kuala Lumpur. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.