Terima Kasih Datuk Belikan Susu Untuk Anak Saya… Anak Saya Lapar…
PUTRAJAYA – “Assalamualaikum Datuk, terima kasih banyak-banyak kerana menghulur bantuan makanan serta wang perbelanjaan untuk beli susu anak. Suka anak saya makan biskut… ya lah dia orang lapar. Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik terhadap Datuk,” kata pengirim yang turut menyertakan gambar-gambar memperlihatkan keadaan anak-anaknya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul… apalah daya bagi ibu bapa kehilangan punca pendapatan namun terpaksa pula menyara anak-anak yang masih terlalu mentah untuk memahami erti kesusahan.
Hal tersebut meruntun hati Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor apabila menerima satu ‘whatApps’ berterima kasih kepada beliau ekoran menghulurkan bantuan.
Demikianlah diibaratkan kepada warga tempatan yang berdepan kesulitan lantaran kesan penularan COVID-19 hingga merencatkan ekonomi negara dan ramai ketua keluarga kehilangan punca pendapatan. Impak terlalu besar adalah kepada perbelanjaan isi rumah yang gagal dilunaskan.
Ini bukanlah hanya satu kisah tetapi cerita-cerita sedemikian acapkali mendepani warga Putrajaya yang turut menerima hal sama hinggakan anak-anak kecil gagal mendapat kesempurnaan bukan hanya berkaitan pakaian malah makan minum juga menjadi tidak menentu.
Keadaan tersebut amat menyentuh hati wakil rakyat yang lebih dikenali dengan panggilan ‘ketua kampung’ lantaran beliau amat memahami kepayahan sebilangan komuniti setempat yang ketika ini amat tertekan ekoran keadaan ekonomi.
Tengku Adnan mengakui biarpun Putrajaya adalah bandaraya termoden di negara ini namun ia tidak selari dengan kedudukan ekonomi masyarakatnya yang kebanyakannya adalah terdiri daripada mereka B40 yang makan gaji malah ramai yang melakukan lebih dari satu pekerjaan bagi menyara keluarga.
Jelasnya, dalam situasi hari ini yang melibatkan lebih banyak syarikat gulung tikar maka tentunya mereka yang kehilangan pekerjaan juga turut bertambah dengan kesannya akan turut dirasai oleh ahli keluarga.
‘Inilah realiti warga Putrajaya. Mereka bukan senang, sangat tertekan dan terhimpit dengan keadaan ekonomi, apatah lagi harga barang yang semakin naik, maka kerana itu, sebagai wakil rakyat, saya amat memahami dan seboleh mungkin saya akan membantu sedaya upaya saya. Ini bukan hanya kerana amanah sebagai Ahli Parlimen di sini tetapi juga nilai kemanusiaan dan kesedaran sebagai insan yang Allah berikan ujian dalam pelbagai bentuk.
“Jika rakyat diuji terkesan dalam kesulitan, maka saya sebagai pemimpin teruji untuk segera menghulur bantuan kerana saya sedar mereka adalah di bawah tanggungjawab saya yang masih ada upaya,” katanya.
Terdahulu, warga Putrajaya sememangnya telah mengenali sifat pemurah Tengku Adnan yang tidak pernah lelah menghulur bantuan sekalipun dirinya sendiri dihimpit dengan pelbagai dugaan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kesejahteraan kepada seluruh warga Putrajaya termasuklah para pemimpinnya. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.