Terima Kasih Datuk Seri Tengku Adnan, Bantu Kami Tatkala Diuji Kesusahan
PUTRAJAYA – “Terima kasih Datuk Seri Tengku Adnan yang telah memberi perhatian dan bantuan bekalan makanan kepada kami sekeluarga tatkala kami kini sedang diuji dengan sedikit kesusahan.”
Demikian luah Andirullah Mohd Yusop yang menzahirkan rasa terharu dan menghargai keprihatinan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.
Beliau yang menjadi komuniti Putrajaya dengan menyewa Pangsapuri Perbadanan Putrajaya berdepan kesempitan hidup lantaran terjejas pendapatan selepas pelaksanaan darurat dan total lockdown oleh kerajaan bagi memutuskan penulaan rangkaian COVID-19.
“Pertama sekali saya sekeluarga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak UMNO Putrajaya, Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan Putrajaya dan khususnya kepada Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Saya terputus bekalan makanan, tidak dapat membayar sewa rumah dari bulan April hingga kini disebabkan pendapatan yang terjejas teruk iaitu tidak mempunyai pendapatan langsung akibat COVID-19. Saya juga telah mendapat surat notis tunggakan bertarikh 8 Julai 2021 dan perlu menjelaskan tunggakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tersebut.
“Saya mempunyai lima tanggungan iaitu isteri dan empat orang anak berusia dari lapan tahun hingga empat bulan dengan anak kedua saya berusia lima tahun menghidap penyakit jantung berlubang dan katarak mata sebelah kiri dan kanta matanya sudah dibedah yang kini tiada kanta mata dan tidak nampak, sebaliknya hanya bergantung pada ‘contact lens’.”
Ujarnya, dengan bantuan yang diterima dari pihak UMNO ini, maka beliau dan keluarga dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Semoga Allah memberkati dan membalas kebaikan perjuangan UMNO Putrajaya dan seluruh negara. Terima kasih Datuk Seri Tengku Adnan,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.