Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya Beralih Ke Fasa Dua PPN Jumaat Ini – PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Penduduk Lembah Klang yang sudah melengkapkan vaksinasi COVID-19 boleh merentas sempadan daerah bermula Jumaat ini berikutan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa Dua PPN termasuk kebenaran merentas daerah kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin.

“Selain itu, pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin pula dibenarkan untuk merentas negeri, manakala ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ismail Sabri berkata ‘dine-in’ di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin turut dibenarkan selain aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri sama yang melibatkan penginapan di hotel dan inap desa bagi individu yang juga telah lengkap dua dos.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa tersebut memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama dan oleh itu pergerakan antara negeri-negeri berkenaan dibenarkan serta tiada lagi sekatan jalan raya.

Beliau berkata bagi negeri yang diletakkan di bawah Fasa Dua dan Fasa Tiga, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, hair dresser dan salon kecantikan adalah dibenarkan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata jawatankuasa tersebut bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri-negeri di bawah Fasa Satu, antaranya membenarkan sukan indoor kecuali gimnasium, kepada individu yang telah lengkap dua dos.

“Fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin dan penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan SOP,” katanya.

Bagi sektor perdagangan dan pengedaran, beliau berkata perniagaan kedai bunga atau nurseri, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan akan dibenarkan beroperasi mulai Jumaat ini bagi negeri-negeri di bawah Fasa Satu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: