Berita

Tahniah, Ketua Penerangan UMNO Putrajaya Dilantik Senator

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya yang diketuai oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama-sama ahli jawatankuasanya dan juga ahli-ahli UMNO bahagian terbabit merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang dilantik sebagai senator Dewan Negara, hari ini.

UMNO Putrajaya amat berbangga dan berbesar hati atas pelantikan tersebut yang tentunya akan menyemarakkan perjuangan dan khidmat kepada agama, bangsa dan negara.

UMNO Putrajaya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah bersetuju dengan cadangan nama yang dikemukakan lantas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya menjadi senator dapat direalitikan.

Datuk Mohd Hisamudin atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Yeop dikalangan komuniti setempat adalah Ahli Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang amat komited dengan amanah dan tanggungjawab yang digalas.

Beliau adalah lantikan baharu yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuat kuasa mulai hari ini hingga 3 Okt 2023.

Datuk Yeop yang berasal dari Bota, Perak, kini memegang jawatan antaranya Ketua Pengarah Eksekutif Gen Rekabumi (M) Sdn Bhd, Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM. – UMNOPutrajaya