Berita

Bukan Retorik, Tengku Adnan Minta Ingat Kembali Apa Berlaku Lepas PRU-14… Hingga Kini Tiada Kestabilan Negara

PUTRAJAYA, 24 Okt – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap agar ahli-ahli UMNO dan rakyat keseluruhan tidak lupa dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu apabila kerajaan baharu menggantikan UMNO/Barisan Nasional (BN) yang natijahnya sehingga kini negara tidak stabil.

Tegasnya, pihak pembangkang sebelum PRU-14 hanya menggunakan pemimpin tertentu sebagai boneka sahaja untuk mendapatkan kuasa.

“Saya bukan beretorik. Renungkan selama lebih 60 tahun UMNO/BN menjadi teraju kerajaan maka apa yang rakyat telah lalui dan bandingkan dengan apa yang telah berlaku lebih dari tiga tahun dalam kerajaan-kerajaan baharu yang mentadbir sebelum ini.

“Bagaimana keadaan kita semua, ada banyak keluhan-keluhan kerana kestabilan politik yang tidak ada sehinggakan dalam masa tiga tahun ada tiga Perdana Menteri, malah hingga kini pun kita masih tidak ada kestabilan politik,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Persidangan UMNO Cawangan Bunga Matahari, iaitu cawangan yang dianggotainya sendiri.

Ujar Tengku Adnan, dari sebelum pilihan raya 2018 lagi beliau sudah mengingatkan agar semua rakyat berhati-hati kerana pembangkang ketika itu akan cuba sedaya upaya dengan tipu helah dan fitnah untuk memburukkan UMNO/BN.

“Cukuplah 22 bulan mereka mentadbir maka pelbagai perkara berlaku namun alhamdulillah bahawa kerajaan itu tidak lama.
Demikian juga kerajaan sementara yang kini telah berganti, namun kestabilan itu masih belum ada.

“Maka kerana itu, saya rayu semua ahli-ahli akar umbi, tolong ingat kembali apa yang berlaku dalam pilihan raya yang lalu. Kesannya sehinggakan sekarang ini ramai yang kehilangan kerja malah terkesan daripada tindakan daripada salah apabila memilih kerajaan.” – UMNOPutrajaya