Berita

Demi Allah, Terus Yakin Hanya UMNO Berjuang Demi Agama, Bangsa, Negara – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – “Kita akan berjuang untuk agama, bangsa dan negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. UMNO ini adalah parti yang berteraskan akar umbi, mempunyai struktur dan organisasi yang mantap, mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.”

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam ucapan perasmiannya sempena Persidangan UMNO Cawangan Bunga Matahari, iaitu cawangan yang dianggotainya sendiri.

Sehubungan itu, beliau menekankan agar keyakinan akar umbi terus kukuh kepada perjuangan UMNO.

“Kerana itu, walaupun kita menghadapi onar yang begitu ketara terutama daripada parti serpihan yang inginkan agar UMNO ini gugur, namun kita bersyukur kerana sehingga hari ini hasrat mereka untuk melihat UMNO terkubur adalah gagal.”

Jelasnya, UMNO sendiri menyedari bahawa wakil rakyatnya berdepan dengan pelbagai tekanan sebelum ini.

“Oleh kerana kerakusan kerajaan yang baru menang ketika itu, mereka telah mengambil tindakan perundangan dan dituduh dengan pelbagai tuduhan politik dengan tujuan untuk melemahkan ahli-ahli UMNO itu sendiri.

“Ini kerana kemenangan mereka juga tidak begitu selesa maka mereka telah membuat pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan dari para wakil rakyat UMNO untuk lompat menjadi ahli mereka.”

Justeru katanya, UMNO sendiri ada 16 orang ahli Parlimen yang bertindak memberikan sokongan kepada PPBM.

“Tetapi kita tahu kena mereka ini berbuat demikian yang barangkali adalah kerana tekanan-tekanan yang telah dibuat oleh pihak tertentu untuk memastikan sokongan diberikan terhadap mereka, malah jika tidak mereka akan di heret ke muka pengadilan atas tuduhan yang di luar akal sebagaimana saya sendiri.

“Saya telah diminta untuk memberikan sokongan kepada mereka, lompat kepada parti mereka dan diberikan janji pelbagai jawatan sehinggakan jawatan penghabisan adalah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Namun demi Allah, apa yang saya ada hari ini adalah kerana UMNO dan saya tidak akan mengkhianati parti saya… walau apa terjadi saya tidak akan mengikut apa yang dikehendaki mereka kerana saya amat yakin hanya UMNOlah yang akan menentukan masa depan orang Melayu, agama saya terjaga dan negara terpelihara dengan hala tuju yang benar,” tegasnya.

Tengku Adnan yang juga Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya juga turut mengimbas bagaimana rentetan beliau turun naik mahkamah atas tuduhan yang diada-adakan. – UMNOPutrajaya