Aktiviti & KomunitiBerita

Mesyuarat Cawangan UMNO Putrajaya Lancar, Terima Kasih Anggota Akar Umbi – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada ahli-ahli UMNO yang menjadi akar umbi penguat Bahagian terbabit kerana telah menyempurnakan mesyuarat peringkat Cawangan.

Katanya, kejayaan melaksanakan persidangan Cawangan termasuk membabitkan Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah bukti bahawa parti terbabit platform terbaik dalam perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Tahniah dan terima kasih semua kerana telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam hasrat kita untuk menyemarakkan perjuangan,” katanya.

Jelas beliau, kelancaran perjalanan persidangan akar umbi UMNO adalah satu aspirasi terbaik demi masa hadapan.

“Apatah lagi persidangan Cawangan ini dilakukan dengan pelbagai kekangan termasuklah pematuhan SOP selain pelaksanaan secara maya akibat COVID-19 yang masih menular.

“Alhamdulillah, ahli-ahli parti tetap bersemangat dan kekal ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat’ demi agama, bangsa dan negara.”

Dilaporkan, lebih 95 peratus UMNO Cawangan Putrajaya telah selesai melunaskan tanggungjawab sebagaimana digariskan dalam perundangan parti.

Pada September Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah ditetapkan bahawa tarikh persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO dilaksana bagi tahun 2021 bermula 15 Okt hingga 30 Nov dengan tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah bersetuju mengenai penangguhan Pemilihan Parti UMNO sehingga 29 Disember 2022.

Mesyuarat Cawangan UMNO dilaksana dalam norma baharu iaitu boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dan maya mengikut situasi COVID-19 di kawasan masing-masing dengan kehadiran mesyuarat adalah secara korum minima ¼ daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada ¼ asalkan mengikut SOP yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing.

Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan pada 11 dan 12 Disember 2021 serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bakal berlangsung serentak pada 18 Disember 2021.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadualkan akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022. – UMNOPutrajaya