Berita

Teruskan Perjuangan Demi Agama Bangsa Negara, Tak Akan Mundur – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan negara mesti diteruskan biarpun banyak dugaan dan rintangan.

Katanya, walaupun laluan dalam perjuangan bukan mudah tetapi semangat tidak akan luntur dan usaha meneruskan perjuangan juga tidak akan mundur.

“Moga Allah SWT permudahkan laluan perjuangan kita. Teruskan demi agama, bangsa dan negara.

“UMNO Bahagian Putrajaya tak pernah patah semangat, memang banyak cabaran dan tak mudah laluan tapi insya-Allah tak akan mundur,” katanya menerusi kenyataan pendek dalam laman facebooknya selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Putrajaya, hari ini.

Ujarnya, mesyuarat tersebut adalah rutin biasa yang dilaksana dalam kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya bagi memastikan setiap apa yang diputuskan oleh dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung baru-baru ini dapat terus sampai ke akar umbi.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan turut menzahirkan penghargaan kepada anggota akar umbi kerana terus memberikan sokongan untuk memantapkan perjuangan parti.

“Sokongan semua yang terus bersama parti amat kami hargai dan moga akan tetap bersama dalam berdepan macam-macam lagi dugaan menuju ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Presint 15 berlangsung lancar. – UMNOPutrajaya