Berita

Tengku Adnan Gesa UMNO Putrajaya Teruskan Usaha Untuk Kembali Perkukuh Parti

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa anggota jawatankuasanya untuk meningkatkan usaha di akar umbi bagi memastikan UMNO kembali kukuh bukan hanya di bahagian terbabit tetapi
juga mendukung aspirasi parti keseluruhan.

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya hari ini menekankan untuk meneruskan usaha memberi penerangan dan info semasa selain khidmat bakti kepada penduduk temapatan.

“Kita adalah parti perjuangan yang mendukung khidmat bakti dengan ikhlas bagi membantu masyarakat tanpa mengira masa, bukan kerana kuasa atau nak pilihan raya tetapi kita mesti mengambil kira semua perkara,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau yang juga Bendahari UMNO memberi penjelasan terperinci berkaitan perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah diadakan pada Rabu lalu.

“Kepimpinan parti mahukan semua anggota parti tetap bekerja dan memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan demi kelangsungan pentadbiran negara yang lancar dan hasilnya memberi kestabilan kepada rakyat dan negara.

“Kita juga perlu bekerja keras dan berusaha sehabis baik bukan hanya dalam usaha mengekalkan sokongan yang sedia ada tetapi juga mendapatkan kembali kekuatan parti dalam memastikan UMNO kembali kuat kuat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya, hari ini dengan dihadiri oleh anggota jawatankuasa bahagian terbabit. – UMNOPutrajaya