Berita

Tak Banyak Alasan… Tengku Adnan Realitikan UMNO Sentiasa Bersama Rakyat

PUTRAJAYA, 19 Jan – UMNO sentiasa menjadi pendamping dalam masyarakat dengan menyantuni orang ramai dalam apa jua keadaan sebagaimana tekadnya ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’.

Hal ini direalitikan oleh Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang bersama-sama masyarakat setempat dalam Majlis Solat Hajat Perdana SPM/STPM sesi akademik 2023/2024 sekolah-sekolah Putrajaya, malam tadi.

Biarpun beliau bukan lagi bergelar Ahli Parlimen dan Putrajaya tidak menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan apabila pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-15 lalu parlimen tersebut jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) dan bergelar pembangkang namun UMNO tetap melaksanakan gerak kerjanya.

Kata Tengku Adnan, kebersamaan UMNO bersama rakyat bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana parti tersebut telah sebati dengan khidmat bakti bersama rakyat malah sejak penubuhannya lebih 77 tahun lalu.

“UMNO Bahagian Putrajaya tak banyak alasan kerana apa yang utama adalah fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Biarpun tidak menjadi ahli Parlimen dan bukan menteri pun tapi insyaAllah, saya akan meneruskan amanah dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online selepas program terbabit yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Dalam hal ini beliau membidas kepimpinan Parlimen Putrajaya hari ini yang masih bersikap sambil lewa tanpa mengambil tahu berkaitan kepentingan rakyat.

““UMNO merealisasikan apa yang dikata, kerana perjuangannya dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat, maka hasrat kita adalah terus bersama rakyat. Ini bermakna UMNO bukan hanya berkhidmat sewaktu dalam kerajaan sahaja, kita pernah bergelar pembangkang dan semi-kerajaan sekalipun tetapi keutamaan dalam keselesaan rakyat tetap diperjuangkan.

“Ini berbeza dengan pihak seblah sana yang menggunakan pelbagai alasan sekalipun telah mendapat mandat dari rakyat dan menjadi ahli Parlimen, kononnya bukan menteri, bukan kerajaan pusat dan sebagainya.”

Lantaran itu, beliau meminta rakyat untuk menilai dan mengutamakan kestabilan dengan meyokong pihak yang benar-benar dapat bekerja untuk rakyat. – UMNOPutrajaya