Isu Semasa

Jawapan Soalan Lazim Berkaitan Kuasa Pengampunan Oleh Yang Di-Pertuan Agong

1. Apakah kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung pengampunan?
Jawapan: Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa YDPA, Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukuman atau lega hukuman. Kuasa YDPA adalah bagi kesemua kes dan kesalahan yang dilakukan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala bagi kes-kes dan kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan adalah di bawah Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

2. Apakah peranan Lembaga Pengampunan?
Jawapan: Peranan Lembaga Pengampunan adalah untuk mempertimbangkan permohonan banduan selaras dengan Peraturan 54, Peraturan 113 dan Peraturan 114 Peraturan-Peraturan Penjara 2000. Selain Itu Lembaga Pengampunan juga boleh mempertimbangkan permohonan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ahli-ahlinya terdiri daripada Yang diPertuan Agong sebagai Pengerusi, Peguam Negara Persekutuan, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong.

3. Siapakah ahli eksekutif daripada Kerajaan dalam Lembaga Pengampunan?
Jawapan: Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

4. Apakah peranan Peguam Negara dalam Lembaga Pengampunan?
Jawapan: Fasal 9 Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
“Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.”

5. Apakah peranan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang sebagai Urusetia kepada Lembaga Pengampunan?
Jawapan: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang merupakan Urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Labuan dan Putrajaya dalam menguruskan dokumen permohonan untuk pengampunan sama ada daripada YDPA secara terus atau Jabatan Penjara Malaysia.

6. Adakah Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada nasihat daripada Lembaga Pengampunan?

Jawapan: Lembaga Pengampunan hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada YDPA dan YDPA tidak perlu mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.

Terdapat kes perundangan peringkat Mahkamah atasan seperti kes Datuk Seri Anwar bin Ibrahim v Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz & anor [2023] 2 MLJ 545 dan kes Superintendent of Pudu Prison & Ors v. Sim Kie Chon [1986] 1 CLJ 548; [1986] CLJ (Rep) 256 yang menyatakan bahawa YDPA mempunyai prerogatif perlembagaan dalam memutuskan permohonan pengampunan, dan keputusan YDPA tidak boleh dicabar atau disemak melalui semakan kehakiman.

7. Adakah keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad? Atau dicabar oleh mana-mana pihak di Mahkamah?

Jawapan: Ya, keputusan yang dibuat oleh YDPA adalah muktamad dan tidak boleh dicabar. Mahkamah di Malaysia secara konsisten berpendapat bahawa apa-apa keputusan yang dibuat oleh YDPA tidak boleh dicabar di Mahkamah seperti mana yang diputuskan di dalam kes Datuk Seri Anwar bin Ibrahim v Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz & anor [2023] 2 MLJ 545 dan kes Juraimi bin Husin v. Pardons Board, State of Pahang & Ors [2002] 4 MLJ 529.

8. Adakah keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 boleh diangkat semula bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong ke- 17 supaya hukuman yang dilegakan boleh dikurangkan lagi atau pengampunan penuh (full pardon) atau remitan penjara boleh dibuat mengikut Peraturan 43(1) Peraturan-Peraturan 2000?
Jawapan: Ya, Banduan boleh mengemukakan petisyen pengampunan melalui Peguamnya atau secara peribadi terus kepada YDPA untuk pertimbangan YDPA. YDPA boleh mempertimbangkan permohonan banduan dan tiada apa-apa dalam perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang menyekat atau mengehadkan kuasa YDPA untuk memberikan pengampunan.

● Di awal tahun 1970an, Datuk Haji Harun Idris, Menteri Besar Selangor, dituduh menerima rasuah berjumlah RM250,000.00. Pertuduhan dengan jelas mengatakan wang itu diterima untuk UMNO. Dalam tahun 1981, Tun Dr. Mahathir, yang pada masa itu, Timbalan Perdana Menteri mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan untuk mendapatkan pengampunan bagi Datuk Harun. Pengampunan diberi dengan dan bebaslah Datuk Harun,

● Di awal tahun 1980an, Datuk Mokhtar Hashim, Menteri Belia dan Sukan dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh musuh politiknya dalam UMNO, Datuk Mohd Taha Talib. Rayuannya terhadap hukuman mati itu ditolak Mahkamah Persekutuan pada 23 Julai 1983. Bagaimanapun pada 2 Mac 1984, hukuman mati diringankan kepada penjara seumur hidup oleh Lembaga Rayuan. Mokhtar dibebaskan dari penjara selepas menerima Pengampunan Diraja pada 10 Julai 1991 (8 tahun dari tarikh hukuman penjara).

9. Adakah terdapat sebarang jangka masa dalam mengemukakan permohonan semula kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17?
Jawapan: Mengikut Peraturan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000, banduan boleh mengemukakan petisyen pengampunan serta merta selepas banduan disabitkan dan seterusnya banduan hanya layak mengemukakan permohonan semula selepas tiga (3) tahun dari tarikh hukuman dikenakan termasuk tarikh hukuman baharu ditetapkan oleh YDPA. Seterusnya banduan boleh mengemukakan petisyen pengampunan pada setiap dua (2) tahun.

Peraturan 113 – Petisyen
(1) Seseorang banduan boleh, jika dikehendakinya, membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di Pertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, mengenai perkara sabitan atau hukumannya, sekali dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan selepas sabitannya dan petisyen sedemikian yang kedua hendaklah dibenarkan apabila seseorang banduan telah menyempurnakan tiga tahun dari tarih sabitan, dan sesudah itu petisyen sedemikian hendaklah diberikan pada lat tempoh dua tahun, melainkan jika terdapat apa-apa hal keadaan khas yang dianggap oleh Pegawai yang Menjaga perlu dibawa kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut manamana yang berkenaan.

Walau bagaimanapun, banduan masih mempunyai hak untuk mengemukakan petisyen pengampunan kepada YDPA sama ada melalui peguam atau secara peribadi tanpa melalui Jabatan Penjara Malaysia sebagai keadaan khas. YDPA mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan permohonan tersebut selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

SUMBER: Penerangan UMNO Malaysia

https://umno-online.my/wp-content/uploads/2024/02/SOALAN-LAZIM-FAQ-BERKAITAN-KUASA-PENGAMPUNAN-OLEH-YANG-DI-PERTUAN-AGONG-PENUMNO.pdf