Berita

UMNO/BN Perlu Terus Jadi Tunggak Kesatuan Bangsa – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Para pemimpin dan akar umbi perlu merancang bermula hari ini agar UMNO/Barisan Nasional (BN) terus menjadi tunggak kesatuan bangsa kerana perjuangannya ‘tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas’ dan tidak luntur ditelan zaman.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata bahawa usia UMNO lebih tua dari tempoh kemerdekaan negara kerana parti ini adalah pelopornya.

“Tarikh 11 Mei lalu UMNO genap 78 tahun. 1 Jun genap usia BN 50 tahun. 2 Jun lalu tamat tempoh mesyuarat Cawangan UMNO yang bermula pada 22 April. Lebih 20,000 Cawangan UMNO dari Perlis hingga ke Sabah yang libatkan lebih tiga juta ahli.

“Ini semua fakta. Bukti yang nyata bahawa usia UMNO lebih tua dari tempoh kemerdekaan negara kerana UMNO adalah pelopor perjuangan kemerdekaan. BN memang usianya 50 tahun tetapi jika ditambah dengan Parti Perikatan maka ia juga melewati enam dasawarsa.

“Itulah tempoh negara keluar dari kemiskinan, dari pertanian kepada perindustrian, membawa kemajuan, memacu pembangunan dan mencapai pemodenan yang semuanya berlangsung dalam tahun usia pentadbiran UMNO bersama BN sebagai kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, UMNO terbukti kewujudannya di seluruh pelusuk tanah air apabila mesyuarat cawangan telah berjaya dilaksanakan.

“Kejayaan pelaksanaan mesyuarat cawangan pula adalah bukti kewujudan UMNO di peringkat akar umbi dari seluruh pelusuk tanah air melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Juga bukti kelangsungan perjuangan bangsa, UMNO jadi teras dan wadah, ada organisasi, struktur, aturan dan etika, ada perlembagaan yang kesemuanya membentuk kesatuan bagi mengembalikan maruah yang tercalar.

“Sungguh tak ada sesiapa yang boleh menafikan atau menolak kenyataan bahawa UMNO/BN amat berjasa kepada negara bangsa malah jika diimbau, barisan kepimpinan tanah air waima perdana menteri dari yang pertama hingga PMX adalah lahir dari kilang kepimpinan pemuda UMNO.

“Sungguh, UMNO adalah parti politik tetapi nilai perjuangannya melangkau pelbagai perkara, dengan asas tujuan demi agama, bangsa dan negara; merangkumi ruang lingkup kehidupan yang membela kebajikan bukan hanya ahli-ahlinya tetapi masyarakat keseluruhan,” katanya lagi.

Menurutnya, adalah tidak mustahil untuk UMNO/BN mengecap semula zaman kegemilangannya jika segala teras perjuangan diangkat seutuhnya.

“Sungguh, hari ini UMNO jauh dari zaman kegemilangannya namun tidak mustahil untuk kejayaan kembali dikecapi jika sekiranya paksi dan teras diangkat dengan perpaduan bangsa menjadi resepi.

“Sungguh, bukti dah nyata. Ada di depan mata dan dimana-mana. Lihat sekeliling, dari sekolah, universiti, bangunan pencakar langit, pengangkutan awam dan macam-macam lagi adalah hasil dari perjuangan UMNO dengan BN sebagai kerajaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa parti-parti lain yang hanya pandai beretorik wajar ditolak dan kembali kepada UMNO/BN kerana hanya parti ini terbukti mampu mentadbir negara sebaiknya.

“Justeru, apa lagi nak dikata kerana yang nyata parti-parti politik lain sebenarnya hanya pandai berkata malah bukti pun tiada maka sewajarnya ditolak dan kembali kepada UMNO/BN demi masa depan yang lebih baik.

“Kini kita berpaksi realiti. Hari ini adalah untuk kestabilan kerajaan demi kemajuan dan keupayaan negara. Untuk esok, kita merancang bermula hari ini agar parti yang kita sayangi terus menjadi tunggak kesatuan bangsa kerana perjuangannya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas dan tidak luntur dek zaman. UMNO/BN tetap dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat dari dulu, kini dan selamanya… Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.