Berita

Pendaftaran Keahlian UMNO Dalam Talian Dibuka, Permudah Proses Ahli Baharu

KUALA LUMPUR – Untuk mempermudahkan proses pendaftaran ahli baharu, UMNO kini sudah membuka saluran pendaftaran secara atas talian bermula pada hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya menyeru orang ramai khususnya anak-anak muda untuk bersama UMNO bagi meneruskan legasi bangsa dan membina semula kekuatan parti.

“Pendaftaran keahlian UMNO secara atas talian kini dibuka! Insya-Allah, prosesnya kini lebih mudah dan pantas.

“Saya mengajak lebih ramai, khususnya anak muda, untuk bersama UMNO bagi meneruskan legasi bangsa dan membina semula kekuatan parti ini menuju kegemilangan.

“We want you. Kita mahukan anda kerana UMNO adalah milik kita semua. Marilah bersama-sama ke Rumah Bangsa. Dulu, Kini dan Selamanya,” katanya.

Melalui inisiatif digital ini, orang ramai hanya perlu melayari laman web rasmi di https://myumno.org⁠ untuk memulakan proses pendaftaran.

Proses pendaftaran adalah mudah dan mesra pengguna iaitu pemohon perlu mengimbas kad pengenalan, membuat pengesahan wajah (liveness), serta melengkapkan semua maklumat yang diperlukan sebelum menghantar permohonan. Setelah dihantar, pemohon disarankan untuk menyemak semula maklumat bagi memastikan ketepatan sebelum proses kelulusan dibuat.

Keputusan permohonan akan dimaklumkan melalui emel yang didaftarkan dan bagi permohonan yang berjaya, nombor keahlian akan diberikan dalam tempoh 24 jam. Pemohon seterusnya boleh log masuk ke laman tersebut menggunakan nombor ahli dan emel bagi pengesahan kali pertama.

Namun, permohonan boleh ditolak sekiranya pemohon didapati telah menjadi ahli UMNO sebelum ini. Dalam keadaan tersebut, pemohon disarankan untuk menghubungi pihak Ibu Pejabat UMNO bagi tindakan lanjut

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Unit Keahlian, Jabatan Pengurusan Data di Ibu Pejabat UMNO.

Untuk rekod, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat MKT telah meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran ahli baharu dibuat secara atas talian.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.