Jangan Cetus Panik Isu Bekalan Makanan, UMNO Putrajaya Tekankan Pentingnya Kestabilan Harga
KUALA LUMPUR, 21 April – Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya menggesa mana-mana pihak terutamanya yang berkaitan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan kepentingan rakyat agar tidak menimbulkan kegusaran dan mengganggu kesejahteraan rakyat
Dalam hal ini beliau merujuk kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mengeluarkan kenyataan berkaitan bekalan beras negara.
Beliau berkata kenyataan menteri bahawa stok beras negara hanya mampu bertahan sehingga Jun, yang dibuat ketika konflik di Asia Barat sedang memuncak, boleh menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan rakyat walaupun Malaysia mengimport beras daripada negara seperti Thailand, Kemboja dan India.
“Pihak bertanggungjawab sepatutnya memberi keyakinan kepada rakyat, bukannya menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan bekalan makanan terputus,” katanya.
Menurut beliau, isu sebenar yang perlu diberi perhatian bukanlah ancaman gangguan laluan import akibat konflik di Asia Barat, tetapi peningkatan harga beras di negara pengeksport utama seperti Thailand.
Beliau mendakwa kerajaan perlu segera mencari jalan mengekalkan harga beras tempatan susulan tindakan Thailand menaikkan harga beras putih, sekali gus mengelakkan beban kos dipindahkan kepada pengguna di Malaysia.
“Cabaran utama ketika ini ialah memastikan bekalan beras kekal stabil dan harga mampu dikawal, terutama ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.”
Dalam masa sama, beliau turut menegur kepimpinan parti Amanah agar tidak terlalu memberi tumpuan kepada persaingan politik dalaman, sebaliknya membantu kerajaan menangani isu kos sara hidup dan keselamatan makanan negara.
“Tegur-tegurlah juga rakan sepasukan dalam parti, jangan sibuk sangat berpolitik nak bertanding di Putrajaya, orang sibuk fikir masalah negara tapi mereka sibuk nak berebut kerusi,” bidasnya lagi.
Terdahulu beliau telah menyempurnakan persidangan UMNO Cawangan Bunga Siantan di Presint 11, Putrajaya. – UMNO Online


