UMNO Cawangan Diseru Aktifkan Semula Sayap Pemuda dan Puteri
PUTRAJAYA – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim mengucapkan tahniah kepada UMNO Cawangan Bunga Bakawali Presint 8 selepas cawangan itu berjaya menyelesaikan persidangan tahunannya.
Menurut beliau, cawangan tersebut mempunyai nilai nostalgia tersendiri kerana merupakan cawangan Pemuda pertama yang pernah mencalonkan nama mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Zaki, dalam pemilihan pertama UMNO Bahagian Putrajaya pada tahun 2004.
“Cawangan ini amat dekat di hati kerana mempunyai sejarah tersendiri dalam perjuangan UMNO Putrajaya. Pada tahun 2004, inilah cawangan Pemuda pertama yang mencalonkan Datuk Zaki dalam pemilihan pertama UMNO Bahagian Putrajaya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata cawangan berkenaan kini tidak lagi mempunyai sayap Pemuda.
Sehubungan itu, Ahmad Faisal mengingatkan dan menyeru kepimpinan cawangan supaya menghidupkan semula sayap Pemuda, selain turut menubuhkan sayap Puteri bagi mendekati serta menyantuni golongan pengundi muda di kawasan blok cawangan tersebut.
Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Segalanya perlu bermula dari rumah. Kita perlu memastikan anak-anak yang telah cukup umur didaftarkan sebagai ahli UMNO cawangan,” katanya lagi.
Beliau turut berharap usaha memperkukuhkan sayap Pemuda dan Puteri di peringkat cawangan dapat membantu memperluaskan sokongan parti dalam kalangan generasi muda di Putrajaya. – UMNOPutrajaya





